Google | Yahoo |
widgeo.net
Website Submission Optimization

Monday, February 21, 2011

UTUSAN SENGAJA

Nik Aziz akui Melayu perlu diutamakan
oleh MOHD. AINUDDIN ALIFF SALEHUDEN
pengarang@utusan.com.my

NIK Abdul Aziz Nik Mat berbual dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa: Jaminan PAS di Shah Alam, semalam.
________________________________________


SHAH ALAM 19 Feb. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akhirnya terpaksa mengakui bahawa perjuangan terhadap masyarakat Melayu perlu diutamakan memandangkan statusnya sebagai bangsa peribumi di negara ini.
Perubahan pendirian itu dipercayai ekoran kebimbangan Pas terhadap penurunan sokongan masyarakat Melayu yang kian ketara dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.
Nik Abdul Aziz berkata, parti-parti politik perlu bertanggungjawab untuk mempertahankan hak orang-orang Melayu kerana mereka adalah masyarakat dominan negara ini.
Ujarnya, walaupun Pas tidak memberi keutamaan kepada perjuangan terhadap bangsa, ia bukan alasan untuk tidak mempertahankan hak orang Melayu memandangkan mereka adalah masyarakat majoriti di negara ini.
"Bagi Pas, orang Melayu perlu diutamakan dalam perjuangan kerana ia adalah kaum terdahulu," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa: Jaminan Pas di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini hari ini.
Nik Abdul Aziz sebelum ini beberapa kali menolak perjuangan terhadap bangsa Melayu kerana menganggap ia tidak dilakukan oleh Islam secara keseluruhannya.
Bagaimanapun, Menteri Besar Kelantan itu juga menolak perjuangan nasionalis kerana dakwanya, ia jelas bercanggah dengan ajaran Islam.
Dalam pada itu, Nik Abdul Aziz turut menuduh Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan untuk kepentingan politik Barisan Nasional (BN) semata-mata.
"Ia adalah satu pengkhianatan yang dilakukan secara sistematik oleh pemimpin BN. Pengkhianatan itu dibuat dengan menolak hak kaum Cina, India, Iban dan Kadazan," ujarnya.
Sementara itu, dalam konvensyen yang sama, penganalisis politik, Dr. Wong Chin Huat berkata, barisan Nasional (BN) akan menang dalam pilihan raya umum akan datang dengan majoriti dua pertiga jika parti itu dapat mengekalkan momentum peningkatan sokongan orang Melayu seperti yang diperlihatkan pada beberapa pilihan raya kecil kebelakangan ini.
Chin Huat berkata, pihak pembangkang pada masa sama dilihat akan kehilangan kira-kira 34 kerusi Parlimen jika Pas gagal mendapatkan kembali sokongan pengundi Melayu.
"Pada 2008, hampir kesemua kawasan yang Pas berjaya mencatatkan prestasi baik adalah di kawasan bukan Islam,'' katanya.


Nik Aziz 1 — Awang Selamat

February 20, 2011

20 FEB — Setelah banyak membawa kecelaruan kepada umat Islam di negara ini selain mencetuskan keresahan kepada masyarakat Melayu, Mursyidul Am Pas, Nik Aziz Nik Mat bertukar nada.

Semalam, Nik Aziz menyatakan bahawa perjuangan terhadap Melayu perlu diutamakan. “Bagi Pas, orang Melayu perlu diutamakan dalam perjuangan kerana ia adalah kaum terdahulu (di Malaysia),” katanya.

Malah katanya lagi, kaum paling dominan adalah orang Melayu. Perubahan nada dan pendirian beliau itu mengundang persoalan. Selama ini, Nik Aziz mengetepikan hakikat Melayu perlu diberi lebih perhatian. Beliau langsung tidak mengambil kira soal sejarah, realiti masyarakat Melayu masih jauh ketinggalan dan keistimewaan yang termaktub dalam perlembagaan negara.

Mana-mana pihak yang mengambil pendekatan memperjuangkan kepentingan Melayu, akan dianggapnya sebagai jahil.

Tetapi Awang tidak terkejut. Demi politik, Nik Aziz boleh berubah sekelip mata. Awang setuju dengan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Nik Aziz akan melakukan apa sahaja untuk memenangi pilihan raya umum dan kemudian menjadi pemerintah bersama dengan DAP dan PKR.

Hakikatnya di kalangan ramai orang Islam dan masyarakat Melayu, Mursyidul Am Pas itu dilihat sebagai ancaman kepada masa depan agama dan bangsa. Pendirian beliau dalam banyak isu termasuk membenarkan penggunaan kalimah Allah bagi penganut agama lain, tunduk kepada DAP dan mengetepikan agenda perjuangan bangsa, menghiris hati masyarakat Melayu.

Apabila pengasas Singapura, Lee Kuan Yew menyeru umat Islam republik itu mengurangkan amalan nilai-nilai Islam baru-baru ini, Nik Aziz sanggup mempertahankan beliau.

Pada pilihan raya kecil di Tenang, beliau sekali lagi mencetuskan keresahan apabila mendakwa umat Islam yang tidak mengundi Pas adalah golongan jahiliah.

Kini Nik Aziz macam lalang ditiup angin terpaksa berpatah balik untuk menyakinkan semula masyarakat Melayu. Pada Awang, itu tidak cukup. Beliau sepatutnya memohon maaf atas banyak kenyataan dan tindak-tanduknya yang memudaratkan kepentingan agama dan bangsa.

Awang juga tertarik dengan perubahan strategi Pas sehingga terpaksa mengadakan Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa: Jaminan Pas.

Rasanya tidak perlulah Pas bersusah payah mengadakan konvensyen seumpama itu. Ia tidak akan memberi sebarang kesan selagi Nik Aziz dan beberapa pemimpin Pas terus dicucuk hidung oleh DAP dan PKR. — Mingguan Malaysia

Nik Aziz 2 — Awang Selamat

February 20, 2011

20 FEB — Sudah sampai masanya Nik Aziz Nik Mat memerlukan kumpulan penasihat yang mantap bagi membantu beliau dalam mengeluarkan pandangan dan kenyataan media.

Jika tidak, Pas dilihat seperti organisasi pimpinan Ayah Pin. Buktinya, apabila Nik Aziz buka sahaja mulut, ia pasti mengundang padah kepada parti itu sendiri. Imej Pas akan menjadi lebih buruk dan parti itu seolah-olah melacurkan agama.

Terbaru, jawapan Nik Aziz kepada kritikan Dr. Mahathir juga longgar dan amat meragukan. Hujah-hujah Tok Guru tidak meyakinkan.

Awang hanya mahu menyentuh satu perkara iaitu penjelasan Nik Aziz mengapa beliau berbaik dengan DAP. Menurutnya, ia membolehkan Pas memperkenalkan Islam kepada DAP. Dengan kata lain beliau mahu berdakwah kepada ahli-ahli dan penyokong DAP. Sampai ke manakah tahap dakwah itu, apakah sehingga mengislamkan ramai penyokong DAP? Nik Aziz kena perjelaskan hal itu sedalam-dalamnya untuk pemahaman masyarakat Cina dan juga menepis kekeliruan umat Islam. Tetapi Awang percaya Nik Aziz terperangkap dengan kritikan Dr. Mahathir. Ternyata beliau tidak mempunyai jawapan yang konkrit. Jika mahu berbaik dengan parti bukan Islam dan bagi memperkenalkan Islam, Umno telah mempelopori usaha itu bersama MCA dan MIC seawal tahun 1950an lagi. Muafakat antara agama dan kaum telah lama dimulakan oleh Umno pada ketika Pas sibuk mengkafirkan parti-parti bukan Melayu suatu masa dahulu. Lebih ramai bukan Islam memeluk Islam terutama di era Tunku Abdul Rahman kerana kesederhanaan dan toleransi agama Islam di bawah naungan kepimpinan Umno. Yang sebenarnya menjadi isu sekarang ialah sikap Pas terutama Nik Aziz mengikut telunjuk DAP. Beliau tergamak melabel Umno sebagai pihak yang kononnya tidak mengamalkan Islam tetapi menjulang DAP yang diketahui sentiasa cuba menggugat kepentingan Islam. Beliau terlupa bahawa kerajaan Umno paling banyak mendirikan masjid, sekolah agama selain universiti Islam, Tabung Haji, memperkenalkan Bank Islam, instrumen kewangan Islam, insurans Islam dan banyak sumbangan lagi. Semua itu bukan hasil perjuangan Pas apatah lagi DAP.

Setakat ini, tiada apa yang menampakkan DAP akur kepada muafakat kepimpinan Islam dalam pakatan pembangkang. Sebaliknya, banyak kepentingan Islam tergugat angkara percaturan politik DAP sementara Pas menjadi picisan. Maknanya Nik Aziz gagal di samping membuka lebih banyak ‘pencerobohan’ ke atas kepentingan Islam di negara ini. Beliau juga ternyata takut kepada DAP. Penegasan berulang kali Pengerusi DAP, Karpal Singh ‘langkah mayat saya sebelum menubuhkan negara Islam’ tidak berani disanggah oleh Nik Aziz. Beliau menikus seolah-olah Karpal juga adalah Pengerusi Pas.

Belum pernah dalam sejarah Pas, ada pemimpin yang dayus dan celaru seperti Nik Aziz. Belum pernah... — Mingguan Malaysia


20 Februari 2011

Utusan didakwa manipulasi lagi ucapan Nik Aziz

Pejabat Menteri Besar Kelantan mendakwa bahawa Mingguan Malaysia memanipulasikan sebahagian kenyataan Datuk Nik Aziz Nik Mat dengan mendakwa beliau "akhirnya mengubah nada mengakui bahawa perjuangan terhadap masyarakat Melayu perlu diutamakan". Setiausaha akhbarnya, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan laporan bertajuk 'Nik Aziz ubah nada' sebagai satu bentuk fitnah secara sistematik dengan memanipulasikan sebahagian kenyataan mursyidul am PAS itu, "demi mencapai tujuan politik murahan seperti biasa yang dimainkan oleh akhbar lidah Umno itu". Katanya, akhbar tersebut sekali lagi menggadai prinsip dan etika kewartawanan yang bersifat profesional dan terus merendahkan martabat menjadi ejen fitnah dan propaganda murahan. Mingguan Malaysia - edisi mingguan Utusan - melaporkan Nik Aziz terpaksa mengakui bahawa perjuangan terhadap masyarakat Melayu perlu diutamakan memandangkan statusnya sebagai bangsa pribumi di negara ini. Akhbar itu juga melaporkan bahawa perubahan pendirian itu dipercayai ekoran kebimbangan PAS terhadap penurunan sokongan masyarakat Melayu yang kian ketara dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini. Ahmad Fadhli menjelaskan bahawa laporan tersebut merujuk kepada ucapan Nik Aziz ketika merasmikan Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa - Jimanan PAS, yang bertempat di Auditorium Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) semalam. Sebenarnya, tegas beliau, mursyidul am PAS itu merujuk kepada tanggungjawab untuk menyebarkan dakwah yang perlu diutamakan kepada orang Melayu yang sudah menerima Islam terlebih dahulu sebelum bangsa-bangsa lain. Menurut Ahmad Fadhli, petikan teks ucapan Nik Aziz yang menyebut tentang perkara tersebut adalah seperti berikut: “Bagi PAS, Melayu perlu diutamakan dalam agenda dakwah pada hari ini kerana mereka merupakan bangsa yang terdahulu menerima Islam di Tanah Melayu ini". "Permainan akhbar Mingguan Malaysia boleh dilihat apabila hanya melaporkan kata-kata beliau seperti berikut: "Bagi Pas, orang Melayu perlu diutamakan dalam perjuangan kerana ia adalah kaum terdahulu," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa: Jaminan Pas di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini hari ini.” Oleh yang demikian, tegas Ahmad Fadhli, tidak timbul soal Nik Aziz mengubah nada kerana apa yang diucapkan oleh beliau ialah dalam konteks dakwah bukan dalam konteks hak istimewa pribumi. Menurutnya, menteri besar Kelantan itu sentiasa mendukung perlembagaan Malaysia yang telah menjamin hak-hak istimewa orang Melayu, namun tidak menjadikan isu itu sebagai alat untuk menarik sokongan orang Melayu seperti Umno yang menurutnya mempergunakannya untuk kepentingan politik. Justeru, Ahmad Fadhli berharap akhbar tersebut tidak mengambil kesempatan untuk memutarbelitkan sebarang laporan selepas ini dan berharap kerjasama dan hubungan baik akhbar tersebut dengan pejabat menteri besar Kelantan boleh diteruskan tanpa sebarang masalah. - mkini





Monday, February 21, 2011

Penjelasan Terhadap Laporan Muka Hadapan Mingguan Malaysia 20 Feb 2011

Penjelasan Terhadap Laporan Muka Hadapan

Mingguan Malaysia 20 Februari 2011


1. Saya ingin merujuk kepada laporan muka hadapan Mingguan Malaysia hari ini 20 Februari 2011 yang meletakkan tajuk : “NIK AZIZ UBAH NADA : BIMBANG PENURUNAN SOKONGAN MASYARAKAT MELAYU TERHADAP PAS”. Di bawah tajuk tersebut ditulis kenyataan, “Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat akhirnya mengubah nada mengakui bahawa perjuangan terhadap masyarakat Melayu perlu diutamakan.

2. Saya menyifatkan bahawa laporan ini merupakan satu bentuk fitnah secara sistematik denga memanipulasikan sebahagian kenyataan YAB Al-Mursyidul Am PAS demi mencapai tujuan politik murahan seperti biasa yang dimainkan oleh akhbar lidah UMNO ini. Mingguan Malaysia sekali lagi merelakan dirinya menggadai prinsip dan etika kewartawanan yang bersifat professional dan terus merendahkan martabat menjadi ejen fitnah dan propaganda murahan. Jika mengikut rekod pemberitaan Mingguan Malaysia, laporan ini akan disusuli dengan pandangan pelbagai pihak di dalam UMNO yang akan berebut-rebut ruang di dalam akhbar untuk menonjolkan pandangan dan pendapat.

3. Sebelum pihak-pihak ini melontarkan pandangan berasaskan laporan yang kurang tepat, sukalah saya nyatakan bahawa laporan tersebut hakikatnya merujuk kepada ucapan al-Mursyidul Am PAS ketika merasmikan Konvensyen KONVENSYEN NASIONAL PENGUPAYAAN BANGSA - JAMINAN PAS yang bertempat di Auditorium Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 19 Februari 2011.

4. Realiti yang sebenarnya ialah al-Mursyidul Am merujuk kepada tanggungjawab untuk menyebarkan dakwah yang perlu diutamakan kepada orang-orang Melayu yang sudah menerima Islam terlebih dahulu sebelum bangsa-bangsa lain. Mereka perlu diberikan keutamaan untuk memahami Islam kerana jika bangsa Melayu mengamalkan Islam yang sempurna ia akan menjadi contoh tauladan kepada bangsa lain.

5. Petikan teks ucapan beliau yang menyebut tentang perkara tersebut adalah seperti berikut : “Bagi PAS, Melayu perlu diutamakan dalam agenda dakwah pada hari ini kerana mereka merupakan bangsa yang terdahulu menerima Islam di Tanah Melayu ini. Firman Allah SWT yang bermaksud : Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang terdekat – Surah al-Syuara’, ayat 214. Ayat ini memerintahkan agar Rasulullah SAW mengutamakan kaum keluarganya terlebih dahulu di dalam menyampaikan dakwah. Perkataan asyirah di dalam ayat ini bukanlah bermakna kaum tetapi bermakna keluarga. Dalam konteks Malaysia, kaum yang paling dominan dengan Islam ialah kaum Melayu sekalipun Islam tidak terbatas untuk bangsa Melayu sahaja.

6. Permainan akhbar Mingguan Malaysia boleh dilihat apabila hanya melaporkan kata-kata beliau seperti berikut : "Bagi Pas, orang Melayu perlu diutamakan dalam perjuangan kerana ia adalah kaum terdahulu," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa: Jaminan Pas di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini hari ini.”

7. Oleh yang demikian, tidak timbul soal YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz mengubah nada kerana apa yang diucapkan oleh beliau ialah dalam konteks dakwah bukan dalam konteks hak istimewa pribumi. Tambahan pula, YAb Tuan Guru sentiasa mendukung perlembagaan Malaysia yang telah menjamin hak-hak istimewa orang-orang Melayu namun tidak menjadikan isu ini sebagai alat untuk menarik sokongan orang-orang Melayu seperti UMNO yang pada hakikatnya mengkhianati bangsa Melayu di dalam banyak perkara.

8. Justeru, semoga pihak Mingguan Malaysia tidak mengambil kesempatan untuk memutar belitkan sebarang laporan selepas ini. Saya berharap agar kerjasama dan hubungan baik di antara pejabat Menteri Besar Kelantan dengan pihak akhbar Mingguan / Utusan Malaysia boleh diteruskan tanpa sebarang masalah.

Sekian, terima kasih.

Yang menjalankan tugas,

AHMAD FADHLI BIN SHAARI

Setiausaha Akhbar,

YAB Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh : 20 Februari 2011 / 17 Rabiul Awal 1432

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails