Google | Yahoo |
widgeo.net
Website Submission Optimization

Saturday, October 23, 2010

Kenyataan Media Dr Mohd Asri berkenaan Islamic Fashion Festival

Mohon maaf dan lantik penasihat syariah, kata Asri

Mereka yang terlibat dengan penganjuran Festival Busana Muslim di Monte Carlo, 9 Ogos lalu perlu membuat permohonan maaf kepada umat Islam kerana tindakan mereka itu adalah satu penghinaan kepada Islam, kata bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

“Sama sekali ia tidak Islamik. Penganjur amat salah jika menyangka Islamic design dan Islamic fashion hanya berkaitan dengan penonjolan tulisan yang berunsur Islamik tanpa memahami soal etika dan hukum-hakam syarak,” katanya dalam satu kenyataan.

Meskipun tidak menamakan sesiapa, namun kenyataan Dr Asri itu merujuk kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, parti politik dan juga orang perseorangan yang membidas tindakan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor selaku penaung yang Festival Busana Muslim itu.

“IFF boleh memberikan gambaran salah yang serius mengenai pakaian dalam Islam. Ia juga melambang kecelaruan fikiran mereka yang terlibat.

“Islam tidak menghalang fesyen untuk wanita, tetapi mesti dengan prinsip dan etika yang tersendiri. Penganjuran fesyen pakaian itu tidak salah, tetapi konsep dan pengisiannya IFF itu salah disebabkan tidak memahami prinsip dan etika dalam hal ini,” katanya.

Menurut Dr Asri, adalah bahaya untuk isteri pemimpin utama negara Islam terlibat dengan hal-hal yang seperti itu kerana ia akan memberikan mesej Islam yang salah kepada dunia.

“Apatah lagi Malaysia dianggap salah sebuah negara Islam yang penting. Kepimpinan negara akan rosak jika isteri-isteri pemimpin utama ini cuba menonjolkan diri sehingga tidak teliti dan tidak lagi memikir buruk baik sesuatu tindakan.

“Perbuatan seperti ini akan merosakkan kepimpinan sesebuah negara yang majoritinya muslim,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Asri yang kini di Doha, Qatar mencadangkan kepada mereka yang berminat menganjurkan pertunjukan fesyen Islam supaya mewujudkan penasihat syariah terlebih dahulu.

“Mereka boleh menjemput ilmuwan yang lebih terbuka dan fleksibel tetapi mengikut prinsip-prinsip umum syarak,” katanya lagi.

Pada festival di Monte Carlo itu, perkataan “Muhammad” dalam tulisan Arab secara terbalik diguna dan dipakai di dada salah seorang peraga fesyen yang tidak menutup aurat.

Rosmah, pada pembukaan majlis itu dilaporkan berkata Fesyen busana Muslim kian pesat berkembang menjadi perniagaan menguntungkan dengan pasaran semasa kini dianggarkan bernilai lebih US$96 bilion (RM302 bilion) setahun.

Bernama juga melaporkannya sebagai berkata: “Festival Fesyen Islam ini sebenarnya bertujuan memberi noktah kepada kelaziman bahawa wanita Islam tidak mempunyai citarasa gaya.

“Sebaliknya, pakaian berkonsepkan Islamik mempunyai gaya yang tersendiri, dan hari ini ia mulai menarik semakin lebih banyak perhatian, kerana trend arus perdana semakin menjadi tidak senonoh, mengghairahkan dan provokatif, tidak menarik kepada lebih ramai pengguna konservatif,” katanya.Malaysiakini

Kenyataan Penuh :

Saya berada di Qatar ketika ini. Pihak media bertalu-talu menghubungi saya bertanya pendapat tentang hal ini. Maka, saya ingin menyebut secara ringkas beberapa perkara berikut;

1. Berdasarkan apa yang ditonjol, jelas bahawa mengaitkan fesyen-fesyen tersebut dengan Islam adalah satu penghinaan. Sama sekali ia tidak islamik. Penganjur amat salah jika menyangka Islamic design dan Islamic fashion hanya berkaitan dengan penonjolan tulisan yang berunsur Islamik tanpa memahami soal etika dan hukum-hakam syarak.

2. IFF boleh memberikan gambaran salah yang serius mengenai pakaian dalam Islam. Ia juga melambang kecelaruan fikiran mereka yang terlibat.

3. Islam tidak menghalang fesyen untuk wanita, tetapi mesti dengan prinsip dan etika yang tersendiri. Penganjuran fesyen pakaian itu tidak salah, tetapi konsep dan pengisiannya IFF itu salah disebabkan tidak memahami prinsip dan etika dalam hal ini.

4. Mereka yang terlibat hendaklah memohon maaf kepada umat Islam dan mengisytiharkan kepada awam bahawa yang dianjurkan itu bukanlah ‘Islamik’.

5. Bahaya untuk isteri pemimpin utama negara Islam terlibat dengan hal-hal yang seperti ini. Ia akan memberikan mesej Islam yang salah kepada dunia, apatah lagi Malaysia dianggap salah sebuah negara Islam yang penting.

6. Kepimpinan negara akan rosak jika isteri-isteri pemimpin utama ini cuba menonjolkan diri sehingga tidak teliti dan tidak lagi memikir buruk baik sesuatu tindakan. Perbuatan seperti ini akan merosakkan kepimpinan sesebuah negara yang majoritinya muslim.

7. Saya mencadangkan kepada mereka yang berminat menganjurkan pertunjukan ‘Islamic fashion’ mewujudkan penasihat syariah terlebih dahulu. Mereka boleh menjemput ilmuwan yang lebih terbuka dan fleksibel tetapi mengikut prinsip-prinsip umum syarak.

-Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Doha, Qatar





kenyataan media :Drmaza dan sumber ulasan pinkturtle2- terima kasih

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails